Monday 16 April 2012

Surah khas wanita


Pengisahan awal bagi kejadian wanita pertama adalah bermula dengan kesepian Nabi Adam a.s. dalam Syurga ketika terpandang sepasang burung sedang bergembira, lalu terdetik dalam hatinya untuk berteman. Seterusnya, diciptakan ALLAH SWT akan isterinya yang diberi nama Hawa daripada tulang rusuknya yang paling bengkok. Kemudian, perkahwinan mereka telah menghasilkan zuriat keturunan secara kembar berpasangan lelaki dan perempuan sehinggalah ke hari ini.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya (zuriat keturunan) lelaki dan perempuan yang ramai”. (Surah An-Nisa’: 1)

Kelebihan golongan wanita ini ditambah lagi dengan ALLAH SWT yang mengkhususkan satu surah khas bagi golongan wanita iaitu dikenali dengan Surah An-Nisa’. Melalui penciptaan lelaki dan perempuan ini pula, ALLAH SWT mencampakkan rasa mahabbah (kasih sayang dan cinta) demi mengikat tali silaturahim antara keduanya melalui ikatan perkahwinan. Seterusnya, mereka melayari mehnah kehidupan dunia ini secara bersama serta bercita-cita untuk pulang ke hari akhirat juga dengan pasangan yang sama, Insya-Allah.

Isunya adalah jika ditanya kepada seseorang individu, siapakah wanita atau pasangan yang ingin dijadikan teman hidup hingga ke mati? Tentu sekali jawab mereka secara spontan: “Pastilah seorang wanita yang baik (solehah) kerana mereka mampu mendidik anak nanti”.

Begitulah hebatnya seorang wanita. Menjadi lumrah dalam hidup ini iaitu perlu menjadikan wanita sebagai individu yang hebat di mata dunia dan akhirat kelak. Benarlah sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Pilihlah zuriat kamu”, agar Muslim tidak memandang enteng perkara yang sepenting ini. Jelaslah, insan di dunia ini tiada yang paling disayangi dan ingin sentiasa bersamanya, ialah ibunda sendiri atau bagi suami pula ialah isteri masing-masing.


(sekadar berkongsi ilmu..rencana ini adalah petikan dari akhbar Sinar 16 April 2012)